JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT), untuk menentukan garis panduan sebarang aktiviti hiburan atau konsert, yang hendak diadakan di institusi pengajian mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian kini lebih memfokuskan kepada usaha memperkasakan mahasiswa, supaya institusi negara dapat melahirkan graduan yang berkualiti.

"Saya lebih cenderung kepada mahasiswa, itu tetapkan (sendiri) dan jaga (garis panduan). Jadi, tidak ada lah garis-garis panduan seperti itu (yang tular)," katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang garis panduan aktiviti hiburan di IPT yang dicadangkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) di bawah KPT, yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Mohamed Khaled berkata setakat ini, JPT belum menghantar sebarang cadangan garis panduan berhubung perkara itu kepadanya.

"JPT belum bawa kepada saya. Saya tak tahu macam mana ia (garis panduan) boleh tular. Kalau saya setuju luluslah, saya tak setuju, tak lulus. Saya belum tengok, jadi saya nak tengok dahulu. Tiada tempoh masa (untuk meneliti). Lagi pun sekarang tengah cuti semester, jadi tiada konsert.

Sebelum ini, tular di laman Facebook mengenai garis panduan bagi aktiviti hiburan (konsert) di IPT, yang antara lain menyatakan penonton perlu diasingkan mengikut jantina lelaki dan perempuan, selain memperkenalkan kod pakaian dan melarang pakaian memaparkan logo illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Pada 24 Jun lepas, dilaporkan sebuah Universiti Awam (UA) di Terengganu dikompaun RM25,000, kerana menganjurkan konsert tanpa kebenaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dilapor akan berbincang dengan KPT, berhubung langkah memberi kelonggaran bagi penganjuran konsert di IPT.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata KPT dan Universiti Utara Malaysia (UUM), merancang menawarkan program celik digital kepada golongan peniaga dalam sesebuah komuniti, dengan menyediakan latihan bersesuaian supaya dapat melahirkan lebih ramai usahawan bukan sahaja mahir dalam perniagaan malah pendigitalan.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata kementerian akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada setiap Kolej Komuniti, bagi menjalankan pelbagai program melibatkan kerjasama institusi itu dengan masyarakat setempat.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi JPENKK kepada 12 individu, terdiri daripada pemimpin komuniti dengan tempoh pelantikan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2025, bertujuan menggalakkan hubungan serta kerjasama antara Kolej Komuniti dan masyarakat setempat.

Beliau juga menyerahkan replika cek bernilai RM2.14 juta kepada Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail, sebagai tanda pelancaran Program Khas Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti MADANI di 105 buah Kolej Komuniti seluruh negara.

-- BERNAMA