KPT sedia teliti semula jumlah jam mengajar pensyarah di universiti

Bernama
Jun 11, 2024 22:57 MYT
Zambry berkata purata jumlah jam mengajar di universiti ketika ini adalah kira-kira 18 jam seminggu yang merupakan antara dilema dihadapi para pensyarah. - Gambar fail/Bernama
NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi akan meneliti keperluan keseimbangan jumlah jam mengajar bagi kalangan pensyarah di universiti negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata purata jumlah jam mengajar di universiti ketika ini adalah kira-kira 18 jam seminggu yang merupakan antara dilema dihadapi para pensyarah kerana terdapat tanggungjawab penting lain yang perlu dilaksanakan.
"Pensyarah di universiti ada pelbagai peringkat, ada yang memegang jawatan biasanya tidak mengajar hingga 18 jam, ia bergantung kepada kursus, jumlah pelajar, keadaan ini berbeza-beza.
"Bagaimanapun, kementerian akan meneliti perkara ini, pada masa sama kita mahu kegiatan pensyarah dalam menulis dan membuat kajian dapat dilakukan sebaiknya," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Kepimpinan Muda Kebangsaan KARISMA: Pemikir MADANI di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang disertai 118 pensyarah dari pelbagai universiti di sini hari ini.
Ketika sesi libat urus itu, Zambry berkata pihaknya akan menyediakan kursus dalam menghadapi serta menguasai pendidikan baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk dimanfaatkan oleh para pensyarah.
"Kumpulkan pengalaman dalam mengajar untuk menghadapi pendidikan AI. Pensyarah ialah brain of the nation. Anda semua mempunyai pemikiran yang hebat, tetapi jika tidak berlaku transformasi pengetahuan, maka tiada hasil baik dapat diberikan kepada negara," katanya.
Beliau berkata semua warga pendidik perlu menggunakan kepakaran seiring dengan pembangunan digital supaya dapat diterjemahkan kepada masyarakat dan pembangunan negara ini.
Zambry turut menyifatkan sesi libat urus bersama warga pendidik itu ialah platform terbaik dalam menyuarakan pandangan serta cadangan yang bernas demi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #warga pendidik #platform terbaik #sesi libat urus
;