KPT saran garis panduan aktiviti hiburan libatkan wakil pelajar
Azyyati Ahmad
September 5, 2023 11:25 MYT
September 5, 2023 11:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan hari ini menyarankan agar setiap institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta merangka sendiri garis panduan aktiviti hiburan (konsert).
Bagaimanapun, pengurusan IPT perlu memastikan majlis perwakilan pelajar dan kesatuan mahasiswa dilibatkan dalam proses perangkaan garis panduan agar ianya mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaian di setiap IPT dan lokaliti sebelum ia diguna pakai secara rasmi di peringkat IPT masing-masing.
Menurut Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), ia selaras dengan pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya garis panduan menjalankan aktiviti hiburan (konsert) di IPT perlu dirangka dan disediakan oleh IPT melalui penglibatan majlis perwakilan pelajar dan kesatuan mahasiswa.
Kementerian melihat ruang dan peluang yang diberikan kepada pelajar ini sebagai elemen pemerkasaan mahasiswa selaku pemegang taruh utama.
Hal ini sekali gus menepati langkah agenda pemerkasaan mahasiswa yang sedang dibawa oleh Menteri Pendidikan Tinggi.
Sebelum ini, tular di laman Facebook mengenai garis panduan bagi aktiviti hiburan (konsert) di IPT, yang antara lain menyatakan penonton perlu diasingkan mengikut jantina lelaki dan perempuan, selain memperkenalkan kod pakaian dan melarang pakaian memaparkan logo illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
Pada 24 Jun lepas, dilaporkan sebuah universiti awam di Terengganu dikompaun RM25,000, kerana menganjurkan konsert tanpa kebenaran.