KPT salurkan peruntukan RM8.6 juta naik taraf kemudahan IPT di Sarawak

Bernama
Mac 7, 2024 06:30 MYT
KPT mengadakan Program Semarak Kampus MADANI menerusi jelajah beserta pengisian dan program berimpak tinggi dengan penglibatan IPT awam dan swasta serta komuniti.
KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM8.6 juta bagi kerja menaik taraf kemudahan di institusi pendidikan tinggi (IPT) di Sarawak sempena program Semarak Kampus MADANI pada Selasa dan Rabu lepas.
KPT dalam kenyataan semalam memaklumkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima peruntukan terbesar sebanyak RM4.8 juta diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Samarahan dengan RM2 juta.
"Buat julung kalinya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menerima peruntukan penyelenggaraan kemudahan usang melibatkan tiga Politeknik dan enam Kolej Komuniti dengan peruntukan tambahan keseluruhan sebanyak RM1.88 juta.
"Tidak ketinggalan kerja naik taraf bagi penyediaan kemudahan untuk warga Orang Kelainan Upaya (OKU). Peruntukan tambahan ini sebagai usaha mendukung aspirasi Kerajaan MADANI bagi menyediakan kemudahan dan ekosistem pendidikan yang kondusif serta berkualiti untuk melahirkan bakat-bakat terbaik negara," menurut kenyataan itu.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan sama berkata program berkenaan turut melibatkan sesi libat urus bersama pihak IPT swasta bagi tujuan memperkukuhkan lagi sistem pendidikan tinggi negara.
"Pelbagai produk inovasi, pencapaian warga turut ditonjolkan sepanjang program berlangsung yang memperlihatkan ekosistem pendidikan tinggi berada pada landasan yang tepat serta turut menerapkan elemen keusahawan dan memberdaya komuniti setempat," menurut kenyataan itu.
Program Semarak Kampus MADANI akan meneruskan jelajah ke 15 zon lain dengan pengisian dan program berimpak tinggi menerusi penglibatan IPT awam dan swasta serta komuniti bagi memberi kesan signifikan terutama aspek pembangunan, infrastruktur serta Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi libat urus bersama warga IPT, 'Bicara Santai DocZam', 'Bedah Buku Bersama DocZam', program rewang penyediaan juadah dan aktiviti riadah.
-- BERNAMA
#IPT Sarawak #peruntukan tambahan #naik taraf kemudahan di IPT #Semarak Kampus MADANI
;