KPT salur bantuan pendidikan, pengecualian yuran IPT anak mangsa nahas helikopter
Bernama
April 25, 2024 08:30 MYT
April 25, 2024 08:30 MYT
LUMUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyalurkan sebanyak RM1,000 seorang kepada 21 anak mangsa nahas dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata anak mangsa yang belajar di universiti pula akan dikecualikan yuran pengajian.
Beliau berkata keputusan itu dibuat sebagai usaha mengurangkan beban keluarga mangsa dalam bidang pendidikan dan ia mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Setakat ini, data yang kita kumpul menunjukkan ada 21 anak mangsa yang masih bersekolah dan telah dikenal pasti serta akan diberi akaun SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) secara percuma.
"Kita akan kemas kini bilangan sebenar anak mangsa yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Pegawai Waran II Allahyarham Mohd Shahrizan Mohd Termizi di Taman Bunga Tanjung, Batu 10 Lekir malam tadi.
Beliau berkata tabungan PTPTN itu akan memudahkan mereka menerima bantuan lain pada masa depan.
"Saya percaya di peringkat Kementerian Pertahanan mungkin ada perancangan untuk anak mangsa, jadi dengan adanya simpanan SSPN akan memudahkan bantuan disumbangkan termasuk oleh agensi lain.
"Bagi pengecualian yuran pendidikan di universiti pula, setakat ini hanya seorang sahaja anak mangsa iaitu Nurul Shahfiqah Mohd Shahrizan, 21, yang belajar di Universiti Malaysia Kelantan," katanya.
Zambry juga berkata pihaknya mengambil maklum dan memandang serius isu seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kontroversi selain tidak menghormati sentimen masyarakat seperti yang tular di media sosial.
"Susulan itu, saya telah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah itu dibatalkan segera. Saya turut meminta Universiti Malaya menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut," katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan menyemak latar belakang mana-mana individu dengan teliti sebelum menjemput mereka ke majlis serta program yang dianjurkan.
Zambry berkata setiap keputusan perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan.
"Walaupun institusi pendidikan tinggi diberi autonomi untuk memutuskan program intelektual tetapi itu bukan bermakna ia bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA