KPT: Pidato mampu lahirkan generasi intelektual, berfikiran kritikal dan matang

Hafizi Rosli
Ogos 10, 2023 14:45 MYT
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada Pertandingan Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu, Piala Menteri Pendidikan Tinggi, di USIM, pada Khamis. - Gambar/ USIM
NILAI: Budaya berpidato mampu melahirkan generasi intelektual, berfikiran kritikal dan matang, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.
Beliau berkata, ini kerana usaha untuk mencari kebenaran dipraktikkan selain menjadikan ia pentas untuk melontarkan idea-idea besar termasuk saranan mahupun kritikan.
Khaled amat menggalakkan penglibatan belia termasuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyertainya selain mengasah bakat serta meningkatkan kemahiran insaniah.
“Berbekalkan ilmu yang benar, anak muda akan menolak dengan keras kejumudan, ketaasuban dan kemunduran pemikiran.
“Mahasiswa mesti berusaha menjadi mereka yang berfikiran intelektual dan rasional serta tidak boleh membiarkan diri mudah dipengaruhi oleh pemikiran yang ekstrem dan indoktrinasi yang terpesong dan tidak berasas,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu, Piala Menteri Pendidikan Tinggi, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada Khamis.
Tambahnya, walaupun pidato itu secara asasnya adalah tentang cita-cita dan idea-idea besar, namun peranan dan elemen bahasa yang matang dan indah itu juga diselitkan.
Katanya, pidato itu harus menyentuh jiwa, menggerakkan pendengar untuk berfikir dan paling penting, menzahirkan nilai dan hikmah yang dipegang oleh pemidato.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan USIM menganjurkan pertandingan sulung ini selaras usaha untuk meningkatkan mutu Bahasa Melayu.
Seramai 43 peserta dari pelbagai IPT turut serta dalam pertandingan itu.
Johan dan naib johan akan mewakili negara ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri pada Oktober depan.
Wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Mukhlisul Mubin dinobatkan johan pertandingan manakala naib johan merupakan wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ivanatasha Abdul Majid.
#pidato #KPT #IPT #Piala Menteri Pendidikan Tinggi
;