KPT peruntuk RM50,000 anjur aktiviti kesusasteraan
Bernama
Julai 12, 2024 23:55 MYT
Julai 12, 2024 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntuk RM50,000 bagi penganjuran aktiviti berkaitan kesusasteraan di peringkat institusi pengajian tinggi.
Ringkasan AI
- KPT memperuntukkan RM50,000 untuk penganjuran aktiviti kesusasteraan di institusi pengajian tinggi dengan kerjasama GAPENA bagi membina jati diri dan keperibadian masyarakat.
- Aktiviti kesusasteraan termasuk sayembara puisi akan dianjurkan untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu dan elemen kebudayaan.
- Penganjuran aktiviti kesusasteraan terbuka kepada semua cabang pendidikan di bawah naungan KPT, termasuk institusi pengajian tinggi swasta, politeknik, dan kolej komuniti.
Menteri berkenaan Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata ia demi memperbanyak aktiviti sedemikian menerusi kerjasama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dalam usaha membina keperibadian dan jati diri masyarakat.
"Satu daripada bentuk pembinaan jati diri ialah dengan kembali menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain elemen kebudayaan dan juga kesusasteraan yang berhubung kait dengan latar belakang segala-galanya.
"Lantaran itu kita akan menganjurkan beberapa program yang berkaitan seperti sayembara puisi," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Puisi Kebangsaan anjuran GAPENA di sini malam ini yang turut dihadiri Presiden gabungan itu Datuk Zainal Abidin Borhan.
Pada majlis itu, penyair serta pendeklamasi terkemuka tanah air Puzi Hadi dan Marzuki Ali telah dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2024.
Zambry juga berkata sehubungan itu, penganjuran aktiviti kesusasteraan tidak terhad kepada institusi pengajian tinggi awam sahaja malah terbuka kepada semua cabang pendidikan di bawah naungan KPT.
"Ia akan melibatkan semua. Kita tidak menghalang hanya satu pihak tapi akan buka kepada institusi pengajian tinggi swasta serta semua cabang yang ada dalam KPT seperti politeknik dan kolej komuniti," katanya.
-- BERNAMA