KPT pertimbang penubuhan cawangan parti politik di kampus - Khaled Nordin

Ridauddin Daud
Mac 2, 2023 11:40 MYT
Mohamed Khaled berkata, cadangan itu selari dengan agenda pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan cadangan membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan itu sebenarnya selari dengan agenda pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Menurutnya, kelonggaran itu juga selaras dengan usaha menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan amalan politik matang terutamanya melibatkan golongan muda.
“Seperti yang telah diumumkan (sebelum ini), kita telah lakukan pelbagai pindaan kepada AUKU yang melibatkan soal kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.
“Selain itu, memang (juga) kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik yang berada di dalam atau di luar kampus termasuklah untuk pelajar itu menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.
“Jadi semua perkara-perkara itu memang telah pun dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk isu yang dicadangkan oleh Yang Berhormat,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN- Mersing) yang bertanya sama ada KPT akan memberi kelonggaran kepada parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.
Sementara itu, Mohamed Khaled menegaskan urusan pelantikan Naib Canselor selepas ini akan menggunakan kaedah sedia ada.
“Memandangkan kerajaan tiada cadangan memansuhkan AUKU, maka amalan sedia ada berkaitan lantikan Naib Canselor Universiti Awam (UA) akan diteruskan seperti sebelumnya.
“Pelantikan Naib Canselor sesebuah universiti awam dilakukan oleh menteri dengan mengikut prosedur dan ketetapan akta yang diluluskan oleh Parlimen dan aktanya ialah Akta AUKU 1971,” katanya.
#parti politik #kampus #Mohamed Khaled Nordin #AUKU
;