KPT perlu sentiasa bincang dengan pemain industri, pastikan lepasan TVET dapat kerja - Zambry

Bernama
Mei 30, 2024 17:30 MYT
Zambry berkata lepasan TVET dihasilkan mempunyai kualiti berikutan setiap program yang mahu dilaksanakan di setiap institusi pendidikan tinggi perlu mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). - Gambar fail/Bernama
NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu sentiasa mengadakan perbincangan bersama pemain industri termasuk dengan sektor swasta bagi memastikan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat tempat dalam pasaran kerja.
Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata ini bagi memudahkan pihak berkaitan mengenal pasti bidang yang sentiasa diperlukan industri terlibat.
"Ini mustahak, kena ada perbincangan dan lantaran itu kerajaan telah wujudkan bentuk kerjasama melibatkan industri dan universiti...jadi jangan hanya mengambil pendekatan menuduh mereka (industri) tidak mahu ambil atau kita tidak sediakan.
"Paling mustahak adalah pendekatan bersama, kita telah adakan pertemuan iaitu kerjasama antara kementerian dalam hal berkaitan tenaga kerja termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi memastikan dari segi keperluan tenaga kerja dalam bidang apa yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menelan kos RM50 juta berkeluasan 316,000 kaki persegi di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memaklumkan sebahagian besar syarikat swasta masih 'kurang kesedaran' untuk mengambil lulusan TVET sebagai tenaga kerja mereka iaitu hanya 39.6 peratus majikan.
Zambry berkata lepasan TVET yang dihasilkan mempunyai kualiti berikutan setiap program dan subjek yang mahu dilaksanakan di setiap institusi pendidikan tinggi perlu mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
"Kursus apa pun yang mahu dilaksanakan kita perlu kelulusan MQA, jadi tidak boleh kata institusi pengajian swasta buat program ikut suka mereka, ini peraturan dan undang-undang ditetapkan, kalau ada yang anjur program tidak memenuhi kelayakan tindakan akan diambil," katanya.
Beliau berkata mana-mana institusi juga perlu membuat sedikit nilai tambah kepada program yang mahu dilaksanakan.
"Sebagai contoh, bidang berkaitan mikrocip dan semikonduktor kita perlukan jurutera, jadi mahu masukkan dalam industri atau syarikat tertentu mereka perlukan sedikit tambahan kelayakan, perlu ada kelebihan sikit, asasnya sudah ada cuma perlu sedikit penambahan," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #TVET #Zambry Abdul Kadir #pemain industri
;