KPT nafi penglibatan penganjuran sidang media G70

Bernama
November 16, 2022 22:52 MYT
Menurut KPT dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu bukanlah representasi rasmi kakitangan akademik atau profesor daripada insitusi pengajian tinggi (IPT).
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menafikan sebarang penglibatan dengan penganjuran sidang media khas Deklarasi Profesor Melayu G70 berhubung seruan kepada rakyat Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung hari ini.
Menurut KPT dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu bukanlah representasi rasmi kakitangan akademik atau profesor daripada insitusi pengajian tinggi (IPT).
"Apa-apa pendirian yang diutarakan oleh G70 dalam seruan ini juga tidak ada hubungan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan KPT.
"KPT menghormati hak dan kebebasan bersuara oleh setiap individu dan para akademik. Walau bagaimanapun, bagi yang masih berkhidmat sebagai penjawat awam, setiap tindakan mereka masih tertakluk kepada pematuhan peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.
Justeru, KPT memohon masyarakat umum agar sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi menerusi saluran sahih yang ditadbir urus oleh kementerian.
"Orang ramai juga hendaklah tidak sewenang-wenangnya mempercayai sebarang deklarasi atau pernyataan oleh mana-mana kumpulan yang mendakwa mereka mewakili suara warga pengajian tinggi di negara ini," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA
#Kementerian Pengajian Tinggi #sidang media G70 #KPT #PRU15
;