KPT miliki mekanisma mencukupi bantu pelajar susah - Idris

Astro Awani
Januari 10, 2016 09:56 MYT
Menurut Idris, pelajar boleh mendapatkan bantuan melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti agar peruntukan dapat disalurkan kepada mereka. - Foto Astro AWANI
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memiliki mekanisma yang mencukupi untuk membantu pelajar yang susah di universiti meneruskan pembelajaran mereka.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata setiap universiti awam di negara ini mempunyai saluran dan peruntukan khas untuk membantu pelajar yang susah agar mereka dapat meneruskan pengajian di universiti dengan selesa.
Jelasnya lagi, banyak saluran disediakan untuk mengatasi masalah terbabit.
Beliau turut berkata laporan sekumpulan aktivis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendakwa 300 pek makanan habis diambil mahasiswa dalam masa sejam, tidak boleh dijadikan kayu ukur atau penanda aras mengenai masalah kewangan pelajar di universiti.
"Memang sudah ada tabung kebajikan pelajar, sudah ada tabung zakat, sudah ada kupon makanan, sudah ada program Pay Forward University," ujar Idris, selepas merasmikan Majlis Penyerahan Makmal Sains Modular kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2 di Besut, Terengganu.
Menurut Idris, pelajar boleh mendapatkan bantuan melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti agar peruntukan dapat disalurkan kepada mereka.
Katanya, kementerian juga mempunyai sistem 'Pay It Forward' di mana pelajar akan membayar untuk dua makanan tetapi hanya mengambil satu makanan dan satu lagi untuk pelajar yang memerlukannya.
Selain itu, Idris berkata peluang pekerjaan dalam kampus turut diwujudkan dengan kadar RM3 hingga RM5 sejam seperti menjadi tutor atau bekerja di kafe dan perpustakaan universiti.
#Idris Jusoh #Kementerian Pengajian Tinggi #KPT #UKM