KPT-MAKUMA bangunkan modul Kesihatan Mental Pelajar IPT
Afiezy Azaman
Julai 13, 2021 11:44 MYT
Julai 13, 2021 11:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) dalam proses membangun modul Kesihatan Mental Pelajar IPT bagi menangani tekanan, kemurungan dan kebimbangan.
"Modul tersebut boleh digunakan sebagai garis panduan kepada pegawai di IPT bagi menangani kes kesihatan mental di universiti yang melibatkan mahasiswa," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Selain itu, KPT turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kaunseling kepada mahasiswa yang melibatkan lebih 150 orang kaunselor dan pakar psikologi.
"Perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial disediakan menerusi talian hotline dan secara dalam talian, mengambil kira faktor kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.
"IPT juga menyediakan program-program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling seperti Tele-Kaunseling; Program Pengurusan Stres dan Emosi semasa PKP; Pengurusan Kesihatan Mental Diri dan sebagainya.
"Pelajar juga boleh menghubungi Bilik Gerakan KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh IPT," ujarnya.
#Kementerian Pengajian Tinggi
#KPT
#Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia
#MAKUMA
#kesihatan mental
#mahasiswa
#universiti
#kaunseling
#psikologi