KPT lulus penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia
Bernama
April 29, 2022 08:23 MYT
April 29, 2022 08:23 MYT
IPOH: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah meluluskan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang bakal membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasakan agenda keusahawanan khususnya di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).
Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, UKKM akan dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pengoperasiannya.
"Kita luluskan penubuhan yang dibawa KUSKOP ini supaya IPT lain dapat berkolaborasi dan saling melengkapi antara satu sama lain.
"Ini bukan sahaja dari aspek membangunkan usahawan pelajar dan graduan, tetapi juga dari aspek penyelidikan dan inovasi dalam bidang keusahawanan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Surat kelulusan tersebut diserahkan Noraini kepada Menteri KUSKOP Tan Sri Noh Omar dalam program Konsolidasi Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak serta program KPT Prihatin Keluarga Malaysia yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.
Noraini berharap agar kesemua pihak terlibat dapat mematuhi segala syarat ditetapkan sebelum boleh memulakan pengoperasian universiti berkenaan bagi memastikan hala tuju penubuhannya berada pada landasan tepat dan mencipta keberhasilan diharapkan.
Sementara itu, Noh berkata UKKM dijangka mula beroperasi September ini di Cyberjaya melibatkan kira-kira 500 hingga 1,000 pelajar.
"Kelulusan ini sangat bertepatan dengan sambutan 100 tahun lahirnya koperasi di negara ini pada 22 Julai nanti.
“Kita akan mewujudkan sebuah skim dinamakan Skim Pinjaman Informal Micro (SPIM) dengan peruntukan pinjaman RM200 juta yang bukan sahaja membantu usahawan tetapi juga para graduan tanpa sebarang kadar faedah dikenakan.
"Ia antara lain akan menggalakkan dan memudahkan graduan untuk menceburi bidang ini memandangkan bayaran balik hanya akan dikenakan selepas setahun," katanya.
-- BERNAMA