KPT lihat keperluan tambah tenaga pengajar politeknik, kolej komuniti
Bernama
Julai 30, 2024 04:30 MYT
Julai 30, 2024 04:30 MYT
NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melihat keperluan untuk menambah tenaga pengajar di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di seluruh negara.
Menteri berkaitan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar selain mengambil kira beberapa bidang baharu yang bakal diperkenalkan di institusi berkenaan termasuk kecerdasan buatan (AI).
"Hal ini akan dibawa dalam pertimbangan unjuran pada masa akan datang dalam penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia..ketika ini terdapat lebih 10,000 tenaga pengajar politeknik dan kolej komuniti.
"Jadi kita merasakan perlu ada penambahan itu kerana ada bidang baharu yang akan diperkenalkan, kita tak boleh ambil tenaga pengajar lama untuk dipindahkan ke situ (mengajar subjek baharu), hal itu semua akan diambil perhatian," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir MADANI Siri 2 bersama lebih 100 pensyarah politeknik dan kolej komuniti yang turut dihadiri Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud.
Dalam pada itu, Zambry berkata selari dengan perkembangan bidang pendidikan, pelbagai persiapan perlu dilakukan termasuk memperluas penglibatan lebih ramai tenaga pengajar yang mempunyai kelayakan Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana.
"Saya ingin lihat bahawa politeknik atau kolej komuniti itu bukan semata-mata diajar oleh graduan universiti, mungkin mereka ada pengalaman tapi kualiti mungkin dapat ditingkatkan, saya mahu diangkat martabat sektor ini dengan kualiti dan pengalaman pendidikan baik," katanya.
Sementara itu, beliau berkata semua pihak bebas menyatakan pandangan dan pendapat untuk menambah baik Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 yang sedang dirangka.
Beliau berkata pelan tersebut turut melibatkan pandangan tokoh, pendidik dan pakar tempatan selain semua pihak berkepentingan.
Zambry sebelum ini dilaporkan berkata pelan yang dijangka siap hujung tahun ini bagi menggantikan PPPTM 2015-2025 itu, akan mencorakkan hala tuju pendidikan tinggi negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Sementara itu, beliau berkata program semalam bertujuan memupuk asas kepimpinan dalam kalangan ahli akademik muda menerusi sesi dialog dan perkongsian, selain mendokong usaha memperkukuh kompetensi kepimpinan dalam kalangan warga muda sektor pendidikan tinggi.
-- BERNAMA