KPT, KLN sedia bantuan untuk rakyat Malaysia yang tiba dari Bangladesh - Zambry

Bernama
Julai 22, 2024 23:57 MYT
Dr Zambry berkata KPT menyambut baik dan berterima kasih dengan keputusan kerajaan melalui MKN dan KLN untuk melakukan evakuasi kepada semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk menyediakan segala bantuan yang diperlukan semasa ketibaan rakyat Malaysia dari Bangladesh, termasuk kaunseling, penginapan, dan logistik.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata KPT menyambut baik dan berterima kasih dengan keputusan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KLN untuk melakukan evakuasi kepada semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.
"Seperti dimaklumkan oleh pihak Wisma Putra, proses membawa pulang ini akan dilakukan dalam keadaan segera dan turut melibatkan lebih 124 pelajar Malaysia yang terjejas berada di sana.
"Sama-sama kita doakan proses evakuasi ini berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia di Bangladesh dapat tiba di tanah air dengan selamat," katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Beliau berkata ia susulan pemantauan KLN terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.
Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara Sabtu lepas sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan Tinggi #Facebook #Kementerian Luar #Wisma Putra
;