KPT kerjasama dengan Wisma Putra pantau keselamatan pelajar di Bangladesh

Bernama
Julai 28, 2024 11:45 MYT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau keselamatan pelajar yang masih berada di Bangladesh menerusi kerjasama dengan Wisma Putra, kata Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. - Foto BERNAMA
SUNGKAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau keselamatan pelajar yang masih berada di Bangladesh menerusi kerjasama dengan Wisma Putra, kata Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerjasama dengan Wisma Putra untuk memantau keselamatan kira-kira 40 pelajar Malaysia yang masih berada di Bangladesh, di mana keadaan mereka dilaporkan tidak terganggu oleh demonstrasi yang berlaku.
  • Demonstrasi besar-besaran di Bangladesh sejak 1 Julai lalu menyebabkan lebih 130 nyawa terkorban, dan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar telah dibawa pulang pada 23 Julai.
  • Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, mengarahkan kementeriannya memberikan bantuan kaunseling kepada pelajar yang pulang dan merancang langkah seterusnya, sambil menunggu keadaan di Bangladesh kembali tenang untuk penghantaran pulang semula.

Zambry berkata setakat ini pihaknya telah mendapat maklum balas daripada Wisma Putra bahawa kira-kira 40 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) adalah antara sebahagian daripada rakyat Malaysia yang kekal berada di Bangladesh.
"Saya difahamkan bahawa (rakyat Malaysia) yang berada di sana (Bangladesh) sebahagiannya bekerja dalam sektor tertentu dan pelajar yang berasa mereka tidak terganggu dengan keadaan yang berlaku di sana, tetapi jumlahnya tidak ramai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Malim di sini hari ini.
Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lepas ekoran keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018 dan kesan daripada demonstrasi itu mengorbankan lebih 130 nyawa.
Susulan itu, sebanyak 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar telah dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas.
Zambry berkata baru-baru ini beliau telah mengarahkan kementeriannya agar melihat dari segi perancangan seterusnya bagi pelajar yang telah pulang ke Malaysia.
"Untuk peringkat awal, kita telah mengarahkan bantuan dari segi kaunseling dan saya juga telah meminta pihak kementerian berbincang dengan pelajar apa perancangan mereka seterusnya.
"Saya yakin sekiranya suasana di Bangladesh kembali tenang mereka boleh pulang semula dan kita akan minta Wisma Putra untuk bersama-sama KPT membantu dalam urusan penghantaran pulang nanti," katanya.
-- BERNAMA
#KPT #kerjasama #Wisma Putra #keselamatan pelajar #Bangladesh