KPT harap inisiatif dalam Bajet 2023 dapat diteruskan
Bernama
Oktober 23, 2022 21:02 MYT
Oktober 23, 2022 21:02 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan dalam Bajet 2023 dapat diteruskan seperti yang dirancang bagi menjaga kebajikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama adalah antara inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Okt lepas.
Selain itu, inisiatif lain yang dibentangkan ialah kenaikan kadar 100 peratus pinjaman PTPTN dan penyediaan pinjaman komputer untuk kumpulan M40; serta pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam SSPN dilanjutkan hingga 2024.
"Bagi pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN, permohonan telah dibuka sejak 15 Sept lepas hingga 31 Dis 2022 kepada semua peminjam yang bergraduat bermula 2019 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.
"Selain daripada itu, dalam pembentangan Bajet 2023 juga turut dibentangkan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 Nov ini hingga 30 April 2023 meliputi diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual," katanya.
Noraini berkata KPT yakin inisiatif berkenaan dapat menjadi penyuntik semangat dan dorongan kepada semua pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kelulusan yang terbaik dalam pengajian.
-- BERNAMA