KPT benar 6 kategori pelajar pulang ke kampus mulai 1 Mac

Nickyson Nyambar
Januari 31, 2021 20:24 MYT
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KPT, pelajar berkeperluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, diwajibkan untuk menjalani ujian saringan swab yang akan dibiayai KKM -Gambar fail
KUALA LUMPUR : Enam kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara fizikal dan dalam talian bermula 1 Mac.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, kumpulan itu adalah adalah pelajar program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan aktiviti praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.
"(Selain itu) Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian.
"Seterusnya, pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.
"Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom (UK)," kata kenyataan itu.
Selain itu, pelajar dibenarkan kembali ke kampus adalah pelajar berkeperluan khas (OKU) serta pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.
"Pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian," tambah kenyataan itu.
KPT turut menjelaskan, pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus perlu dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.
Sementara itu, mengenai pergerakan pulang pelajar dalam enam kategori terbabit dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani ujian saringan swab yang akan dibiayai oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Bagi pelajar yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kampus. Kos makan minum dan kuarantin mulai 1 Mac 2021 akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak," kata kenyataan tersebut.
Bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung pula, mereka akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing bagi memastikan bebas daripada COVID-19.
"Selain daripada ketetapan pergerakan pelajar IPT yang dinyatakan, para pelajar turut disaran untuk merujuk kepada SOP kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang sedang berkuat kuasa.
"Pihak IPT juga boleh merujuk kepada SOP Sektor Pengajian Tinggi sedia ada yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata kenyataan itu.
#Kementerian Pengajian Tinggi #KPT #pengajian secara fizikal #pdp #pelajar IPT #kembali ke kampus #COVID-19 #enam kategori
;