KPT belanja hampir RM43 juta untuk agenda usahawan di IPT

Bernama
Oktober 12, 2023 04:00 MYT
Mohamed Khaled berkata KPT kini sedang memfokuskan usaha memperkemas ekosistem keusahawanan termasuklah memantapkan dasar kementerian berkaitan start up. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membelanjakan hampir RM43 juta untuk menjayakan agenda keusahawanan di institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 2016 sehingga kini, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled berkata menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025, kementeriannya juga merekodkan lebih 40,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menjadikan usahawan sebagai kerjaya pilihan selepas menamatkan pengajian.
"Pelan ini bukan sahaja disusun untuk menggalakkan IPT melatih dan melahirkan lebih ramai bakat usahawan di IPT, tetapi ia selari dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030) yang menyasarkan untuk mempersiapkan Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supiyan dalam Majlis Penutupan First International Millennipreneur Innovation and Commercialization Exhibition 2023 (IMInE2023) di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.
Mohamed Khaled berkata untuk UiTM, terdapat kira-kira 22,000 usahawan siswa yang telah mendapat pendedahan dan menjalankan perniagaan semasa tempoh pengajian mereka.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata agenda menanam minat dan melatih bakat usahawan tidak seharusnya menjadi tugas KPT serta IPT sahaja, tetapi setiap pihak berkepentingan di kementerian, agensi, pihak industri dan persendirian perlu turut serta.
"Atas dasar itu, sebagai usaha melengkapkan ekosistem keusahawanan di peringkat KPT, hari ini kami berbesar hati untuk turut menyempurnakan pemeteraian memorandum kerjasama antara kementerian dengan Bank Islam Malaysia Bhd.
"Selain daripada komitmen dan sumbangan sedia ada pihak Bank Islam kepada sektor pendidikan tinggi negara sebelum ini, kita harap pemeteraian memorandum ini akan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara IPT kita di seluruh negara di samping dapat membantu sektor pendidikan tinggi negara untuk bersama-sama meneroka pelbagai kerjasama yang boleh membantu usaha pemupukan budaya keusahawanan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata KPT kini sedang memfokuskan usaha memperkemas ekosistem keusahawanan termasuklah memantapkan dasar kementerian berkaitan start up (syarikat atau usahawan pemula)
"Melalui semakan dasar ini, matlamat utama kita adalah untuk mewujudkan satu ekosistem yang boleh benar-benar menggalak dan menyokong pertumbuhan dan perkembangan start up yang dipacu oleh golongan pelajar sendiri.
"Melalui pengenalan start up yang lebih kompetitif dan berpotensi, kita percaya ia bukan sahaja akan menanam minat yang mendalam terhadap bidang keusahawanan, tetapi juga memberi pengalaman dan peluang yang sebenar kepada mahasiswa kita," katanya.
-- BERNAMA
#KPT #IPT #Mohamed Khaled Nordin #usahawan
;