KPT bangun pelan tindakan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
Bernama
Mac 22, 2023 18:12 MYT
Mac 22, 2023 18:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah membangunkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu (PTMBM) 2023-2030 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Timbalan menteri berkenaan Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pelan tindakan itu adalah inisiatif kementerian untuk memartabatkan bahasa Melayu di IPTA.
"KPT sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha dan inisiatif yang dijalankan di pelbagai peringkat dalam memartabatkan bahasa Melayu terutamanya di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan usaha ini tidak terhad kepada penguatkuasaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).
"Di bawah PTMBM ini empat objektif utama yang digariskan adalah membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang ingin tahu sejauh mana KPT bersetuju menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan di IPT terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, Mohammad Yusof berkata pengiktirafan terhadap ahli akademik yang memberikan sumbangan berimpak tinggi dalam memartabat bahasa Melayu turut diberikan di peringkat kementerian.
"Ini termasuklah pemberian Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu bermula tahun 2012, dalam mengangkat usaha memartabat bahasa Melayu di peringkat pendidikan tinggi," katanya.
-- BERNAMA