KPT akan perkenal sistem pembelajaran hibrid, anjal

Sinar Harian
Jun 4, 2023 13:30 MYT
Mohamed Khaled berkata, pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal ini membolehkan para pelajar menghadiri kuliah hanya pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan anjal kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal ini membolehkan para pelajar menghadiri kuliah hanya pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.
Menurut beliau, pada tahun-tahun di pertengahannya, pelajar akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir ke kelas secara fizikal.
“Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja.
“Melalui inisiatif ini, bukan sahaja mahasiswa boleh menyusun aktiviti mereka dengan lebih fleksibel.
“Ia akan memberi beberapa kelebihan seperti, dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk mahasiswa bekerja atau melakukan perkara-perkara yang memerlukan mereka untuk tidak berada di kampus,” katanya semasa Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya pada Ahad. - Sinar Harian
#KPT #Khaled Nordin #sistem pembelajaran hibrid #anjal
;