KPSM digesa lebih proaktif majukan ladang sawit terbiar untuk penanaman semula - Johari
Bernama
Ogos 20, 2024 23:34 MYT
Ogos 20, 2024 23:34 MYT
MELAKA: Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) digesa memainkan peranan proaktif memajukan ladang sawit terbiar menerusi projek penanaman semula bagi meningkatkan pengeluaran komoditi utama negara itu.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata terdapat kira-kira 1.7 juta hektar tanaman sawit yang berusia lebih 19 tahun di negara ini dan sekiranya tidak ditangani segera ia akan memberi impak yang besar terhadap pengeluaran dan eksport minyak sawit negara.
"Pengeluaran minyak sawit negara sejak 10 tahun lepas menurun daripada 19.6 juta tan metrik kepada 18.5 juta tan metrik.
"Antara sebabnya adalah kita tidak membuat penanaman semula mengikut standard ditetapkan iaitu melakukan sekurang-kurangnya empat atau lima peratus penanaman semula tetapi (sebaliknya) hanya 1.8 peratus setahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2024, di Banda Hilir, dekat sini, hari ini,
Keadaan ini, katanya, telah menyebabkan Malaysia ketinggalan berbanding negara pengeluar lain dan menggesa koperasi di bawah MPOB memainkan peranan berbincang bersama pekebun kecil yang tidak lagi berminat membuat penanaman semula untuk berbuat demikian dengan bantuan kerajaan.
Johari berkata setakat ini permohonan yang diterima untuk melakukan tanaman semula kelapa sawit di ladang terbiar berjumlah 5,900 hektar dan pihaknya menyasarkan sekitar 9,000 hektar menjelang tahun hadapan.
"Kita juga akan memohon melalui Kementerian Kewangan untuk melakukan penanaman semula di kawasan 9,000 hektar itu dalam memastikan pengeluaran minyak sawit kita tidak menurun memandangkan ia merupakan eksport utama negara yang bernilai lebih RM100 bilion," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya juga akan memastikan usaha penanaman semula dilakukan melalui proses kelestarian yang perlu dipraktikkan oleh kira-kira 442,000 pekebun kecil bagi menampung sasaran untuk menembusi pasaran baharu seperti benua Afrika, Timur Tengah serta India.
--BERNAMA