KPPK pandang serius syarikat tidak endah kebajikan pekerja - Khairuddin
Fareez Azman
Disember 22, 2020 20:12 MYT
Disember 22, 2020 20:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memandang serius terhadap insiden yang berlaku ke atas kebajikan pekerja asing di sebuah kilang sarung tangan getah baru baru ini.
Menterinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya mengutuk sekeras kerasnya tindakan segelintir syarikat yang sengaja melanggar atau enggan mematuhi undang-undang ditetapkan.
"KPPK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir syarikat yang sengaja melanggar atau enggan mematuhi undang-undang dan peraturan, sebaliknya hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira faktor keselesaan serta keselamatan pekerja yang merupakan penyumbang utama kepada keuntungan syarikat.
"Ini kerana tanpa pekerja-pekerja terbabit, syarikat dan industri tidak mungkin memperoleh keuntungan berlipat ganda lebih-lebih lagi semasa musim pandemik COVID-19 ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, sebagai majikan adalah menjadi kewajipan bagi pihak syarikat untuk menjaga kebajikan para pekerja mereka sebaik mungkin termasuk pekerja asing.
Justeru, KPPK mengesa pihak industri di semua sektor agar sentiasa patuh kepada undang-undang perburuhan dan juga peraturan ditetapkan kerajaan.
"Kementerian turut berharap agar persatuan industri mengambil tanggungjawab, mengingatkan semua ahli di bawah naungan masing masing supaya sentiasa patuh kepada peruntukan undang-undang dan
peraturan serta bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani isu ini daripada terus berlarutan pada masa akan datang," jelasnya lagi.
#KPPK
#undang-undang
#keselamatan
#COVID-19
#Mohd Khairuddin Aman Razali
#pekerja asing
#kilang sarung tangan getah