KPN tidak tolak ansur anggota rasuah, jadi tali barut

Bernama
September 15, 2017 21:13 MYT
Ketua Polis Negara baharu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata beliau tidak akan bertolak ansur dengan pegawai dan anggotanya yang terbabit dengan rasuah.
Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak akan bertolak ansur dengan pegawai dan anggotanya yang terbabit dengan rasuah dan menjadi tali barut menyembunyikan kegiatan jenayah berlaku di hadapan mata mereka.
"Saya tidak akan beri pertimbangan kepada pegawai atau anggota terutama mereka yang muda dan terlibat dengan rasuah kerana mereka adalah pelapis," katanya.
Dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta kecekapan pasukan keselamatan itu, beliau menggariskan empat fokus utama iaitu konsep 'Back to Basic'; Rasuah dan Integriti; Judi dan Jenayah Bersindiket serta Intelligence-Led Policing' (ILP).
"Konsep 'Back to Basic' ialah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang mampu menyelamatkan anggota dari sebarang liabiliti ketika melaksanakan tanggungjawab," katanya dalam sidang media pertamanya, pada majlis Serah Terima Tugas Pengarah Cawangan Khas, Narkotik dan Siasatan Jenayah di Bukit Aman di sini, hari ini.
Selain aspek Rasuah dan Integriti, beliau berkata isu Judi dan Jenayah Bersindiket turut difokuskan kerana terdapat anggota dan pegawai polis menjadi tali barut bagi menyembunyikan jenayah tersebut.
"ILP pula membabitkan teknologi tertentu , ia telah dilaksanakan namun ia akan diperkasakan bagi memantau pergerakan mereka yang terlibat dengan jenayah seperti ahli-ahli sindiket, anggota serta pegawai polis dan pengganas, kata Mohamad Fuzi.
Terdahulu, pada majlis itu, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dilantik sebagai Pengarah Narkotik Bukit Aman manakala Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.-- BERNAMA
#anggota #integriti #jenayah #Ketua Polis Negara #Mohamad Fuzi Harun #PDRM #polis #Rasuah
;