KPN sarankan perintah berkurung ESSZONE ditarik balik

Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Januari 16, 2020 18:40 MYT
Abdul Hamid berkata, hasil kajian pihak ESSCOM mendapati ramai pihak merungut susulan penguatkuasaan peraturan berkenaaan. - Astro AWANI
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menyarankan agar perintah berkurung di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE) ditarik balik.
Abdul Hamid berkata, hasil kajian pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mendapati ramai pihak merungut susulan penguatkuasaan peraturan berkenaaan.
Menurut beliau, jumlah pihak yang merungut juga meningkat dari masa ke semasa.
“Dalam masa sama, pihak keselamatan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah berkurung.
“Justeru itu, adalah disarankan perintah berkurung ditarik balik, tetapi dikekalkan di empat lokasi panas (hotspot) - antaranya di Alice Reef, Pegasus Reef dan Pulau Ligitan,” katanya dalam sidang media di Pejabat ESSCOM di Lahad Datu, pada Khamis.
Hadir sama ialah Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor.
Tambah Abdul Hamid, perintah berkurung di empat lokasi tersebut akan dikekalkan dan akan dijaga oleh pihak ESSCOM sendiri.
#Abdul Hamid Bador #dimansuh #ditarik balik #ESSCom #ESSZONE #Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah #Ketua Polis Negara #perintah berkurung #Zon Selamat Pantai Timur Sabah
;