KPN perluas inisiatif 'Ini Warisan Kita', laksana empat program baharu - Aaron
Bernama
Julai 13, 2024 05:30 MYT
Julai 13, 2024 05:30 MYT
PUCHONG: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memperluas inisiatif 'Ini Warisan Kita' dengan pelaksanaan empat program baharu di bawah inisiatif berkenaan pada tahun ini.
Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata empat program itu ialah Festival Budaya Warisan Sarawak, Festival Budaya Warisan Sabah, Kenali Minoriti Kita dan Bahasa Etnik Minoriti.
"KPN akan memperluas lagi program 'Ini Warisan Kita' ke seluruh negara termasuklah pelaksanaannya di peringkat sekolah bagi meningkatkan Iagi pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara ini.
"Kementerian akan sentiasa memberi sokongan kepada program bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan kerana ia dilihat berupaya mengeratkan silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguh hubungan masyarakat demi kesejahteraan serta keharmonian negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penutupan Gawai Dayak dan Kaamatan 2024 anjuran Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) di sini malam tadi.
Aaron berkata pada tahun lepas, kementeriannya telah melancarkan inisiatif 'Ini Warisan Kita' sebagai satu daripada pengisian utama dalam program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI melalui konsep 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian'.
Beliau berkata inisiatif itu untuk menyuntik semangat cinta kepada tanah air melalui penghayatan terhadap kepelbagaian khazanah yang diwarisi negara sejak turun-temurun.
Berkaitan program malam tadi, Aaron berkata program seumpama itu mampu membantu masyarakat pelbagai kaum mengenali antara satu sama lain khususnya berkaitan adat dan budaya pelbagai etnik di Malaysia.
"Pendekatan program ini juga bertepatan dengan slogan 'Segulai Sejalai' membawa maksud 'Seiring Sejalan' yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama yang utuh rakyat Malaysia," katanya sambil berharap program sedemikian dapat diteruskan dalam usaha memelihara keharmonian negara.
-- BERNAMA