KPN nafi anggota polis terlibat dalam rusuhan di kuil

Astro Awani
November 28, 2018 13:45 MYT
Mohamad Fuzi (kanan) ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Pembuktian dan Pendakwaan serta Buku Panduan Siasatan Jenayah melibatkan Agen Kimia, Biologikal, Radiogikal, Nuklear dan Letupan di Maktab PDRM hari ini. --fotoBERNAMA
Polis menafikan penglibatan anggotanya dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya pada awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu tersebut merupakan anggota Polis Simpanan Sukarelawan (PVR) yang telah ditamatkan perkhidmatannya.
"Itu salah. Itu sebab saya kata, semakan yang kita buat (menunjukkan) dia bukan anggota polis, dia PVR, pada satu ketika.
"Tetapi, disebabkan oleh masalah tertentu, kita tamatkan perkhidmatan dia. Jadi, apa-apa kenyataan yang menyatakan dia anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu, adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Mohamad Fuzi berkata demikian pada satu sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular video berdurasi sembilan saat di media sosial menunjukkan seorang lelaki sedang mengawal keadaan di kuil berkenaan.
Selain itu, gambar lelaki sama dalam video berkenaan memakai uniform polis turut tular di laman sosial.
Dalam pada itu katanya keadaan di kuil Sri Maha Mariamman kini terkawal sejak semalam tanpa sebarang insiden kekecohan.
"Ada usaha individu tertentu timbul kekecohan malam tadi namun kita berjaya kawal," katanya.
Menurutnya polis masih lagi berkawal di kawasan kuil itu.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu kekecohan berlaku di rumah ibadat itu apabila sekumpulan individu merusuh dan mencederakan pengunjung rumah ibadat itu.
Pada awal pagi Selasa pula sebuah jentera bomba dirosakkan selain seorang anggota bomba cedera parah dipukul dalam kekecohan berkenaan.
Susulan kejadian itu, sekumpulan perusuh turut merosakkan harta benda di pusat beli-belah One City.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kejadian itu adalah perbuatan jenayah dan tiada kaitan dengan isu perkauman.
#Ketua Polis Negara #kuil #media sosial #polis #Polis Diraja Malaysia #Polis Simpanan Sukarelawan #PVR #Sri Maha Mariamman #Subang Jaya #video
;