KPN: Laporan 'The New Paper' berniat jahat

Bernama
Ogos 3, 2013 09:37 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan laporan muka depan sebuah akhbar Singapura, The New Paper, mengenai kejadian jenayah di Malaysia baru-baru ini, berniat jahat.
Sebaliknya Khalid menegur akhbar tersebut agar mengawasi hal ehwal jenayah di dalam negara sendiri daripada membuat satu spekulasi yang tidak benar mengenai jenayah di Malaysia.
"Ia adalah satu kenyataan jahat...eloklah dia jaga rumah sendiri daripada menjaga rumah orang," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Jalinan Ramadan Bersama Pasukan Beruniform di sini hari ini.
Akhbar The New Paper pada 31 Julai, telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk 'Selamat datang ke Malaysia di mana...kematian adalah murah dan untuk kekal hidup sangat mahal' yang turut menyatakan bahawa untuk mengupah seorang pembunuh hanya memerlukan $2,000 (RM5,000).
Artikel tersebut menerima maklum balas negatif daripada pelbagai pihak yang menyatakan ia tidak beretika dan menggesa agar akhbar harian itu memohon maaf kepada Malaysia kerana menghina.
#jenayah #Khalid Abu Bakar #the new paper