KPN khuatir perhimpunan awam jadi 'krisis ketenteraman'

Teoh El Sen
Jun 3, 2013 09:16 MYT
Perhimpunan awam yang menyalahi undang-undang, jika dibiarkan, dikhuatiri boleh merebak menjadi satu 'krisis ketenteraman', menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Jadi, sebelum ianya menjadi satu krisis ketenteramam awam, kita perlu menguatkuasakan peraturan sedia ada seperti apa yang telah diperuntukkan dalam undang-undang," Khalid memberitahu Astro Awani dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Khalid turut mempertahankan tindakan polis terhadap perhimpunan ‘Blackout505’ anjuran pembangkang di mana penganjur dihadapkan di mahkamah kerana didakwa telah gagal memberi notis yang mencukupi di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).
"Tindakan polis itu tidak berniat jahat, tidak ada niat lain selain daripada mengekalkan keamanan dan ketenteraman."
"Walaupun ada pihak yang menuduh kita melakukan ‘clampdown’ (sekatan besar-besaran). Itu tidak benar. Tiada sekatan. Tiada perkara seperti itu. Patuhi undang-undang, itu sahaja, " nasihat Khalid.
Ditanya mengenai kenyataan daripada pihak-pihak tertentu, termasuk pemimpin pembangkang dan NGO yang mengatakan tempoh notis 10 hari itu hanya satu keperluan teknikal, Khalid berkata bahawa ada sebab di sebalik peruntukan itu.
"Dah diperuntukkan 10 hari, ada sebabnya. Baca balik undang-undang itu. Apa sebab kita perlu 10 hari? Kita kena memaklumkan tuan punya tempat itu, kita juga perlu memastikan bahawa perhimpunan itu tidak terlalu dekat dengan kawasan-kawasan yang dilarang, dan ia tidak melanggar hak-hak orang lain.”
"Jangan hanya memikirkan hak-hak satu pihak, kita perlu melihat hak orang lain juga," katanya.
Khalid berkata, pihak polis telah membenarkan dan membantu memudahkan perjalanan perhimpunan awam, sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah PAA, tetapi melahirkan kekecewaan terhadap kurang rasa hormat kepada undang-undang oleh pihak-pihak tertentu.
"Bukankah kita telah membenarkan ini (perhimpunan)? Adakah kita tidak membenarkan perhimpunan di Kelana Jaya? Di Batu Kawan (Pulau Pinang)? Tetapi pada masa yang sama apabila kita beri kebenaran itu, pihak yang satu lagi mesti mematuhi undang-undang. Perlu mematuhi undang-undang berkaitan notis dan sebagainya. Pastikan ucapan-ucapan yang dibuat tidak melanggar sebarang undang-undang yang lain. "
"Ya, ia adalah tanggungjawab kita di bawah PAA untuk memudahkan perhimpunan, perhimpunan yang aman, tanpa senjata. Sudah tentu kita membantu. Kami memberi bantuan lalu lintas dan kita menjaga keamanan, itulah tugas kami, "katanya. "Tetapi perlu mengikut undang-undang," ulang Khalid.
"Kenapa kita perlu bagi notis kepada polis adalah untuk kami merancang logistik dan keanggotaan kita. Untuk memastikan bahawa tidak ada kumpulan lain yang akan mengadakan perhimpunan yang tidak sehaluan dan pada masa yang sama dengan kumpulan pertama. "
"Jangan hanya mengatakan bahawa kita semua tahu berhimpun secara aman, kita tidak perlu polis. Jika terdapat beberapa kumpulan yang mahu buat kecoh, nak cari siapa? Siapa yang dipersalahkan jika polis tidak berada di sana?"
Khalid sebelum ini berkata bahawa menangani isu perhimpunan awam adalah antara tiga agenda teratasnya sebagai Ketua Polis Negara yang baru.
Pakatan Rakyat telah mengadakan beberapa perhimpunan besar-besaran, yang digelar Blackout505 di seluruh negara membantah dakwaan penipuan dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei. Minggu lalu, PKR mengumumkan bahawa akan ada sekurang-kurangnya empat lagi perhimpunan di Perlis, Sungai Petani, Kota Bharu dan Batu Pahat selain Sabah dan Sarawak.
#blackout505 #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #perhimpunan #perhimpunan awam
;