KPN kesal gagal bawa pulang Jho Low

Nickyson Nyambar
Mac 17, 2021 19:53 MYT
Abdul Hamid menyuarakan kekecewaan kerana operasi menangkap Jho Low tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari negara tempatnya bersembunyi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui kegagalan beliau untuk menepati janji untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah merupakan penyesalan terbesarnya.
Katanya, janji berkenaan telah dibuat sebelum ini ketika pihak polis melakukan operasi untuk membawa pulang Jho Low, namun usaha berkenaan gagal.
"Memang ada satu gerakan saya menjalankan operasi dengan pihak tertentu untuk dapatkan Jho Low, tetapi usaha tersebut separuh jalan.
"Saya terbang ke negara tersebut. Saya pergi dan berbincang dengan individu-individu tertentu dan saya berkomunikasi dengan kedutaan negara tersebut. Saya menghubungi kepolisan negara tersebut, merayu supaya dia dapat dihantar pulang semula ke negara.
"Kebiasaannya, permintaan sebegini ditunaikan, tetapi dengan (negara) ini susah sedikit. Dalam masa sama kita mendapat maklumat dia bebas menjalankan pelbagai perniagaan," ujarnya dalam "Program Bersama Ketua Polis Negara" (KPN) kelolaan Tan Sri Johan Jaafar terbitan Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, pelbagai inisiatif telah dilakukan termasuk menyiasat orang kepercayaan Jho Low dalam usaha untuk membawa pulang ahli perniagaan itu.
Walaubagaimanapun, beliau menyuarakan kekecewaan kerana operasi menangkap Jho Low tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari negara tempatnya bersembunyi.
"Saya juga sempat menangkap orang kepercayaan dia dan hasil siasatan kita, pihak polis berjaya mendapat maklumat berkenaan harta di Cyprus dan asetnya di Kuala Lumpur," katanya.
"Saya cukup kecewa sebab dalam hal-hal kepolisan kita bergantung kepada kepercayaan (faith). Kita percaya dengan dia, dia percaya dengan kita kerana sepatutnya begitu.
"Kita tolong dia ... dia sepatutnya balas. Saya cukup kecewa, apabila saya bersara dan saya tidak dapat mengotakan hasrat untuk membawa dia (Jho Low) pulang," tambahnya dalam sesi temu bual sama.
#Abdul Hamid Bador #Jho Low #Low Taek Jho #Ketua Polis Negara #KPN #siasatan #Cyprus #ahli perniagaan dalam buruan
;