KPN kerjasama dengan AEON BiG anjur Program Galeri UNITI pupuk semangat perpaduan
Eton Khir
Oktober 1, 2022 21:17 MYT
Oktober 1, 2022 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bekerjasama dengan AEON BiG (M) Sdn Bhd menganjurkan Program Galeri UNITI Keluarga Malaysia sebagai usaha menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata kolaborasi strategik bermula 29 September hingga 9 Oktober itu bertepatan sebagai platform untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Jelasnya, program yang berlangsung di AEON BiG Bandar Tun Hussein Onn itu turut dilaksanakan di sembilan lagi lokasi pusat beli-belah terkemuka AEON yang terpilih di seluruh negara.
"Kerjasama ini kita akan kembangkan di AEON BiG seluruh negara. Saya harap mudah-mudahan lebih banyak lagi rakan-rakan baharu kita seperti Mydin, Econsave dan beberapa lagi rakan perpaduan kami yang lain akan bersiap sedia untuk menjadi penganjur sekali gus menyemarakkan lagi suasana perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang dikenali dengan pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa.
"Antara lokasi terpilih ialah AEON Bandar Baru Klang, Selangor, AEON BiG Batu Pahat, Johor, AEON BiG Falim, Ipoh Perak, AEON BiG Penang Prai, Pulau Pinang, AEON Bandaraya Melaka, AEON Kota Baharu, Kelantan, AEON Kuching, Sarawak dan AEON Seremban 2, Negeri Sembilan," katanya kepada Astro AWANI selepas melancarkan Program Galeri UNITII pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Urusan AEON BiG (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.
Program yang berlangsung dari jam 10 pagi sehingga 10.30 malam itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Pameran Rumah KAMI yang memberi peluang untuk pengunjung mengenali keistimewaan dan keunikan sambutan tradisi dan budaya yang menjadi amalan masyarakat majmuk di negara ini.
Selain itu, pameran Citarasa Menu Keluarga Malaysia turut meriah dengan pengisian termasuk membolehkan pengunjung mencuba sendiri keunikan rasa setiap hidangan yang beridentitikan kepelbagaian kaum ini.
Di samping itu, program itu turut dimeriahkan dengan aktiviti sukan tradisional seperti congkak, yoyo Cina dan batu seremban.
Pada masa sama, pameran Galeri UNITI ini turut boleh dikunjungi di lain-lain lokasi seperti di Ruang Legar Pasar Raya Kuantan Parade, Kuantan; Pusat Beli-Belah KTCC Mall, Terengganu; Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Sabah; Kompleks Ujana Kewangan Labuan; Econsave Kota Tinggi, Johor; dan Pasar Raya Cmart Arau, Perlis.
*Artikel ini adalah kandungan berbayar