KPN janji siasatan menyeluruh termasuk penglibatan polis
Teoh El Sen
Julai 28, 2013 12:28 MYT
Julai 28, 2013 12:28 MYT
Ketua Polis Negeri Sembilan, Osman Salleh berkata pihak polis akan melakukan penyiasatan menyeluruh terhadap semua tuduhan termasuk yang melibatkan pegawai polis berkait cubaan membunuh Pengerusi MyWatch, R.Sri Sanjeevan.
Sri Sanjeevan kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Besar Tuanku Jaafar Seremban, jelasnya lagi.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak PDRM akan menjalankan siasatan menyeluruh dan melihat daripada pelbagai aspek termasuk yang dituduh oleh Sanjeevan terdahulu.
Tambahnya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah akan menyelia siasatan tersebut.
Khalid turut berharap agar Sanjeevan akan pulih dengan segera bagi membantu siasatan polis.
Kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya itu ditulis susulan kejadian tembakan yang melibatkan Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan lewat petang semalam.
Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak lewat petang tadi oleh dua lelaki yang tidak dikenali di Bahau, Negeri Sembilan.
Sanjeevan, 29, berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Pilah pada pukul 10.30 malam tadi dan Astro Awani dimaklumkan oleh sumber dari hospital bahawa keadaan beliau masih tidak stabil.
Kejadian tembakan itu dilaporkan berlaku pada pukul 4.30 petang berhampiran persimpangan Taman Awana Indah, Taman Cempaka.
Menurut sumber, Sanjeevan keluar untuk minum petang bersama seorang rakan dan memandu BMW kelabu.
Beliau sedang merokok dan cermin keretanya diturunkan sebelum dua lelaki bermotosikal merah datang dari arah belakang dan melepaskan tembakan.
Ketika dihubungi, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, dia merasa sedih dengan kejadian tersebut.
"Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku terhadap beliau ketika usaha untuk mengurangkan jenayah sedang giat dijalankan," katanya kepada Astro Awani.
Sehubungan itu beliau menggesa polis menyiasat kejadian tersebut kerana Sanjeevan dikatakan pernah menerima beberapa ugutan sebelum ini susulan beberapa pendedahan yang dilakukan beliau.
Sejak dilancarkan MyWatch lantang menyuarakan hal-hal berkaitan jenayah termasuk dakwaan rasuah dan salah laku anggota polis di semua peringkat selain mendakwa ada yang terbabit dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap.