KPN: Hargai jasa pahlawan negara
Bernama
Julai 31, 2013 08:34 MYT
Julai 31, 2013 08:34 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan supaya bersama-sama memberi penghargaan sewajarnya kepada pahlawan negara.
"Kita perlu menghargai pengorbanan para pahlawan kita yang berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi pengganas komunis, anasir-anasir subversif serta musuh-musuh negara," katanya pada sidang media khas di sini sempena sambutan Hari Pahlawan 2013 hari ini.
Khalid berkata perjuangan terbaharu pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah semasa Ops Daulat di Lahad Datu baru-baru ini.
Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka, kerajaan turut menganugerahkan pingat-pingat keberanian serta kebesaran antaranya pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan darjah kebesaran tertinggi negara yang sehingga kini diterima tujuh orang.
Selain itu turut diberikan adalah pingat keberanian seperti Panglima Gagah Berani (PGB) iaitu 15 penerima dan pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) dengan 30 penerima.
Beliau berkata kebajikan para pahlawan negara serta anggota keluarga sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan dengan memberikan sumbangan yang bersesuaian.
"Para pahlawan yang masih ada tetapi hilang upaya serta sanak saudara pahlawan yang telah hilang tempat bergantung diharap bersabar menempuh ujian hidup," katanya.
Kepada semua anggota keselamatan, Khalid menasihatkan supaya meneruskan khidmat bakti murni masing-masing kerana harapan masyarakat terhadap mereka cukup tinggi.
Katanya, sebagai perisai dan pedang negara, mereka perlu menjalankan tanggung jawab yang terbaik sesuai dengan semangat dan sumpah ikrar yang dilafazkan sebelum ini.
Dalam pada itu Khalid berkata PDRM akan menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Pahlawan esok bagi mengenang jasa para pejuang dan pahlawan negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara tercinta.
Menurutnya sambutan itu bermula Jumaat lepas iaitu khutbah khas Hari Pahlawan di Masjid Negara, disusuli majlis berbuka puasa, bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah malam tadi di Masjid Negara.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kemuncak acara adalah istiadat sambutan di Dataran Merdeka dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, esok.
"Selepas Agong memeriksa kawalan kehormat, akan diadakan deklamasi sajak serta persembahan pentomin bertajuk 'Lahad Datu Berdarah," kata beliau.