KPN dedahkan kegiatan anggota, pegawai polis beri suapan untuk lulus peperiksaan

Fareez Azman
Julai 15, 2020 17:11 MYT
Abdul Hamid mendedahkan perkara itu ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu. -Gambar fail
Bukit Aman mendedahkan terdapat pegawai dan anggota polis memberi suapan antara RM4,000 hingga RM10,000 kepada pihak ketiga semata mata ingin lulus peperiksaan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata tindakan itu dilakukan oleh pihak terbabit semata- mata bagi mendapatkan peluang temu duga kenaikan pangkat dalam pasukan berkenaan.
Abdul Hamid tidak akan sesekali bertoleransi dengan perbuatan itu serta akan mengambil tindakan terhadap pegawai atau anggota terbabit, katanya dilaporkan Bernama.
Justeru, satu sistem khas ujarnya akan diwujudkan bagi mengelak mana-mana pihak ketiga di dalam pasukan mengakses dan mengubah keputusan peperiksaan dalaman.
“Saya tidak akan sesekali bertoleransi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang mengambil suapan bagi meluluskan peperiksaan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“PDRM juga akan mewujudkan satu sistem khas bagi mengelak pihak ketiga (dalam pasukan) daripada mengakses dan mengubah keputusan peperiksaan kenaikan pangkat," katanya di sini pada Rabu.
Sistem terbabit katanya akan dikendalikan terus oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan penuh displin, berintergriti serta amanah.
Malah katanya, sistem berkenaan akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tinggi agar tidak digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Beberapa tahun lepas, terdapat satu kes melibatkan orang dalam dan pelatih PDRM yang telah ditahan dan diambil tindakan berhubung perkara terbabit.
"Ada jurulatih yang menawarkan jawatan detektif dan akan mengaturkan posisi itu terhadap seorang pelatih yang ketika itu masih dalam peringkat latihan," katanya.
#Bukit Aman #Jabatan Pengurusan Bukit Aman #keselamatan #Ketua Polis Negara #KPN #PDRM #peperiksaan #Polis Diraja Malaysia #Rasuah #Sistem khas #suapan #tindakan #undang-undang
;