KPN buat tinjauan mengejut, pesan 'perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul'
Hasimi Muhamad
Februari 12, 2024 11:00 MYT
Februari 12, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan anggota-anggota polis yang berada di lapangan sebagai barisan hadapan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencerminkan imej agensi penguatkuasaan itu.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, Razarudin berkata, petugas-petugas PDRM di lapangan perlu dinasihat, ditegur dan diperbetulkan segera jika pasti berlaku kesilapan atau kekhilafan.
Tindakan tersebut, jelas beliau, bagi memastikan kesilapan berkenaan tidak menjadi ikutan serta amalan yang salah.
"Sama-sama kita perbetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Insya-Allah," tulisnya dalam kemas kini tersebut hari ini mengiringi sebuah video berdurasi lebih tiga minit.
Dalam hantaran itu, Razarudin memaklumkan, beliau turut membuat lawatan mengejut ke Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sebelum meneruskan lawatan ke IPD Nilai dan Lokap Balai Polis Mantin di Negeri Sembilan, pada Ahad.
Beliau menegaskan, tujuan tinjauan penugasan dibuat terhadap pegawai dan anggota di lapangan bukanlah untuk mencari kesalahan atau menjatuhkan hukuman.
"Kepada dua-dua URB (Unit Rondaan Bermotosikal), saya berpesan bahawa anda semua ini ada 'frontliners' yang akan berhadapan dengan masyarakat dan membantu masyarakat.
"Saya minta jaga kerja anda, jaga nyawa, keselamatan kita dan harta yang ada dengan anda itu (iaitu) harta kerajaan.
"Baik anda, maksudnya yang di lapangan, baik lah PDRM. (Ini kerana) OCPD (Ketua Polis Daerah), atau pegawai-pegawai yang ada ini, kadang-kadang dia tidak berhadapan dengan masyarakat di bawah.
"Cuma sekali-sekala masyarakat datang di pejabat, ataupun ada program. Jadi encik-encik (anggota polis) yang di bawah ini sebenarnya 'frontliners' kita, yang perlu kita lihat dan akan bekerja dengan ikhlas, insya-Allah," katanya dalam rakaman video.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan Razarudin meminta semua Ketua Polis Daerah (KPD) memantau setiap aktiviti pegawai dan anggota polis di peringkat bawah serta pentadbiran masing-masing, jika ada antara mereka yang hidup mewah tidak setara dengan jawatan dan gaji.
Beliau berkata, KPD akan dipertanggungjawabkan sekiranya pihak Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengesan ada pegawai atau anggota di bawah mereka yang hidup mewah, tidak setara dengan pendapatan.