KPN, Astro AWANI anjur Road Tour Perpaduan, semai rasa cinta negara dan kebersamaan

Astro Awani
November 4, 2023 12:00 MYT
Mohamad Sobri (dua dari kiri) menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan cabutan bertuah kepada pengunjung program Road Tour Perpaduan hari ini - Foto/Facebook Kementerian Perpaduan Negara
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan saluran berita 24 jam, Astro AWANI buat julung kalinya berkolaborasi menerusi penganjuran program Road Tour Perpaduan Siri Pertama yang berlangsung pada Sabtu.
Dengan sokongan Era FM, program berkenaan merupakan sebahagian daripada teras 'Kembara Perpaduan Malaysia Madani' yang dilancarkan oleh KPN, bagi merancakkan lagi semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud, inisiatif Road Tour Perpaduan adalah salah satu usaha untuk kementerian dan pihak media mempromosikan semangat cinta kepada negara melalui hubungan kekitaan.
Ini sekali gus, ujarnya membuka peluang kepada masyarakat mempelajari dan memahami keunikan serta kepelbagaian adat, budaya dan kaum di negara ini.
"Kita harap melalui program ini, nilai-nilai perpaduan dapat diterapkan khususnya dalam kalangan anak muda.
"Ini supaya mereka tahu pentingnya perpaduan kepada negara, keharmonian serta keamanan yang akan kita warisi kepada generasi baharu kelak," katanya ketika ditemui di Laman Teratai, IWK Taman Eco Park, Pantai Dalam pada Sabtu.
Selain Laman Teratai, Road Tour Perpaduan turut menjelajah ke Laman Perdana, Taman Botani Perdana pada sebelah pagi, dan Saloma Bridge, Kampung Baru pada Sabtu malam.
Sementara itu, Penolong Kanan Naib Presiden, Penyelesaian Kreatif Editorial, Perkhidmatan Kandungan
Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin berkata, Road Tour Perpaduan merupakan platform penting untuk melahirkan kebersamaan dalam semua kaum.
"Ini sebenarnya satu aktiviti dan pentas, yang mana kami berpendapat ia adalah satu aktiviti yang terbaik untuk kita tonjolkan kepada masyarakat.
"Walau dalam apa jua keadaan sekali pun, kita boleh turun dan duduk bersatu padu bersama, untuk berdepan dengan apa juga masalah. Kita faham, pelbagai masalah ketika ini dari sudut ekonomi.
"Tujuan kita melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti ini supaya kita, bukanlah melupakan terus (masalah dihadapi), tetapi meringankan beban dengan cara berkongsi sesama kita," jelas beliau.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang Road Tour Perpaduan Siri Pertama, antaranya sukan rakyat, edaran Tippin Harmoni serta cabutan bertuah.
Jangan lepaskan peluang untuk sertai Road Tour Perpaduan Siri Kedua yang dijadual pada 25 November ini di Lembah Klang.
#Road Tour Perpaduan #Kembara Perpaduan Malaysia Madani #Kerajaan Perpaduan