KPM utamakan baik pulih sekolah daif skala tujuh di Sarawak - Radzi Jidin
Azizah Alwi
Oktober 26, 2021 14:31 MYT
Oktober 26, 2021 14:31 MYT
KUCHING: Projek baik pulih sekolah daif di Sarawak akan mengutamakan sekolah-sekolah yang diklasifikasikan dalam skala tujuh terlebih dahulu.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, skala tujuh adalah merujuk kepada pengkelasan Jabatan Kerja Raya yang membuat pemantauan sekali gus mengesahkan bangunan itu tidak selamat dan perlu diberi keutamaan.
Menurut Radzi, KPM juga akan terus melaksanakan pembinaan sekolah daif di Sarawak secara berperingkat.
"Kemudian, jika semua bangunan pada skala tujuh selesai, kita akan lihat bangunan skala enam," katanya selepas mengadakan lawatan ke SMK Bandar Baru Samariang pada Selasa.
Jelas beliau, terdapat pelbagai faktor dinamik yang menyebabkan sesebuah bangunan sekolah itu ditakrif sebagai sekolah daif termasuk faktor banjir dan lokasi pergerakan tanah.
Justeru kata Radzi takrifan sekolah daif harus difahami dengan teliti kerana statistiknya sentiasa berubah.
Selain itu mengulas mengenai tapak baharu pembinaan sekolah, Radzi berkata, perkara itu dibincangkan ketika pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ia termasuk mengenal pasti tapak sekolah baharu yang memerlukan proses pemutihan tanah terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil sekali gus mempercepatkan pembinaan.