KPM umum enam inisiatif antaranya lonjak kapasiti guru digital
Bernama
Mei 16, 2024 15:56 MYT
Mei 16, 2024 15:56 MYT
KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata antaranya ialah menyediakan ruang bagi guru meningkatkan kemahiran termasuk menerusi kursus pemerkasaan teknologi khasnya dalam domain Kecerdasan Buatan (AI) dengan nilai RM 1juta dengan menyasarkan 500 guru terpilih di seluruh negara.
Selain itu, beliau berkata turut dilaksanakan ialah kerjasama KPM dengan Apple Professional Learning Specialist Malaysia untuk melatih dan membimbing 100,000 guru untuk diiktiraf sebagai 'Apple Teacher'.
"Seterusnya, dalam konteks memberikan pengiktirafan kepada guru yang melonjakkan usaha beradaptasi dengan teknologi digital semasa, seramai 1,000 orang guru terpilih akan menghadiri kursus dan menerima sijil profesional digital serta diikitiraf sebagai Guru Jauhari Digital KPM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 Tahun 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Fadhlina berkata pada tahun ini, Program Cuti-Cuti Cikgu (CCC) yang telah dilaksanakan sebelum ini akan melibatkan rakan strategik antaranya Malaysia Airlines, Firefly, Bank Rakyat, Wetland Putrajaya, Air Asia dan Traveloka.
Inisiatif diumumkan hari ini turut melibatkan penyediaan dua geran penerbitan bernilai RM10,000 masing-masing dianugerahkan untuk menerbitkan penulisan berkenaan "Tokoh Guru Madani" dan "Tokoh Kepimpinan Madani", katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Indeks Kesejahteraan Guru akan dibangunkan bagi memastikan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara dan dibentangkan buat kali pertama pada sambutan hari guru, tahun depan.
Ketika sidang media, Fadhlina berkata Indeks Kesejahteraan Guru itu dilaksanakan untuk melihat semula keseluruhan ekosistem warga pendidik yang akan dibangunkan untuk melihat domain tertentu.
"Kita nak beri tumpuan kepada perkara ini, supaya kesejahteraan guru dapat ditingkatkan dari masa ke masa...kesejahteraan melihat kepada kesihatan misalnya selain apa lagi guru perlukan dan hak mereka kita nak pastikan dilihat secara keseluruhan," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan
#Fadhlina Sidek
#umum enam inisiatif
#kecerdasan buatan
#kecdersan buatan
#AI