KPM umum empat intervensi kurikulum tangani isu keciciran pembelajaran

Azyyati Ahmad
Mac 18, 2024 11:50 MYT
Fadhlina berkata laporan tahap penguasaan PBD dipermudahkan manakala pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelaksanaan empat intervensi kurikulum bagi menangani isu keciciran pembelajaran.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, KPM memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan ibu bapa dan masyarakat seperti aras kurikulum yang tinggi, kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang sukar difahami dan ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan pelaporan PBD.
Susulan itu, bagi menangani kesemua isu tersebut, KPM telah mengambil inisiatif bagi melaksanakan intervensi berikut:
Pertama: Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3
KPM telah menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025.
Penjajaran kurikulum ini melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I sedia ada. Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 ini disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap I.
Dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul.
Kedua: Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi
Pengesanan literasi dan numerasi murid Tahun 1 ini bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.
Pengesanan awal melalui Pentaksiran Bilik Darjah dilaksanakan setelah murid mengikuti persekolahan selama tiga bulan.
Ketiga: Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang Mesra Ibu Bapa
Laporan tahap penguasaan PBD dipermudahkan manakala pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.
Pelaporan PBD boleh diakses oleh ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu.
Keempat: Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3
Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.
#Kementerian Pendidikan #Fadhlina Sidek #pendidikan #Malaysia
;