KPM tunggu laporan siasatan guru besar tampar murid

Sinar Harian
Mei 20, 2023 20:44 MYT
Fadhlina berkata, pihaknya sudah menjalankan kerjasama erat dengan JPN dan pihak berkuasa dalam kes tersebut. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan penuh siasatan berhubung tindakan seorang guru besar dipercayai menampar murid Tahun Lima di sebuah sekolah di sini pada Mac lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudah menjalankan kerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak berkuasa dalam kes tersebut.
"Kebiasaannya, tindakan akan diambil oleh pihak kementerian selepas prosedur siasatan kes selesai.
“Saya ambil maklum berkenaan kes itu (kes murid ditampar guru besar). Kita sedang tunggu siasatan dan laporan," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.
Menurutnya, negara mempunyai hukum dan prosesnya mesti berlaku maka beri ruang untuk siasatan serta laporan dilakukan sehingga ke tindakan sewajarnya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kes seorang murid perempuan Tahun Lima trauma untuk ke sekolah selepas ditampar oleh guru besar di hadapan murid-murid lain di dalam dewan sebuah sekolah.
Berikutan kejadian itu, kanak-kanak terbabit masih takut untuk ke sekolah sehingga hari ini dan sering memberi alasan tersebut untuk tidak hadir ke sekolah.
Laporan telah dibuat di Balai Polis Nilam Puri di sini pada 30 Mac lalu sebelum dipanggil oleh pihak sekolah untuk mengadakan perbincangan. -Sinar Harian
#Fadhlina Sidek #pendidikan #trauma #siasatan
;