KPM tunggu laporan lengkap insiden kebakaran bilik guru SMK Balai Ringin
Astro Awani
Januari 8, 2022 13:21 MYT
Januari 8, 2022 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia sedang menunggu laporan lengkap berhubung insiden kebakaran bilik guru dan pejabat pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, Sarawak.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tindakan susulan akan diambil segera KPM berhubung perkara ini.
"Susulan kebakaran di SMK Balai Ringin, Sarawak awal pagi tadi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"KPM sedang menunggu laporan lengkap kejadian dan tindakan segera bakal dilaksana terhadap kerosakan yang berlaku," katanya dalam catatan di Facebook pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar pukul 3 pagi itu satu letupan kuat mengejutkan pengawal SMK Balai Ringin di sini pada Sabtu sebelum menyedari blok bilik guru sekolah terbakar.
Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawk, Tiong Ling Hii ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.04 pagi dan segera mengatur gerak dua jentera dan 15 anggota daripada Balai Serian dan Siburan.
Punca kebakaran kata Ling Hii, masih lagi dalam siasatan tetapi insiden tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.