KPM tubuh enam pasukan petugas, perkasa haluan pendidikan negara
Bernama
Mac 4, 2024 19:00 MYT
Mac 4, 2024 19:00 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan enam pasukan petugas (taskforce) bagi memperkasakan haluan pendidikan negara dalam beberapa bidang utama pada tahun ini, kata Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan.
Pasukan petugas tersebut adalah Pasukan Petugas Prasekolah, Pasukan Petugas Intervensi Kurikulum dan Pasukan Petugas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Turut ditubuhkan adalah Pasukan Petugas Pendidikan Digital, Pasukan Pertugas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pasukan Petugas Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Dalam sidang media selepas menyampaikan amanat sesi persekolahan 2024/2025 di sini hari ini, beliau berkata KPM memberikan komitmen tinggi untuk memastikan bahawa tidak ada warganegara Malaysia yang tercicir daripada arus pendidikan.
"Banyak program dan intervensi yang kita akan lakukan untuk 2024 termasuk enam pasukan petugas dalam (bidang utama iaitu) prasekolah, TVET, digital, STEM dan MBMMBI," katanya
Sementara itu, Azman berkata KPM akan berusaha mempertingkat kemahiran guru dalam bidang digital bagi memastikan proses penyampaian maklumat kepada murid dapat dilaksana dengan berkesan.
"Kita hendak anak-anak kita menjadi celik digital dan berupaya untuk meneroka, melaksanakan dan menggunakan teknologi digital itu untuk mempertingkatkan disiplin ilmu yang mereka pelajari dalam bilik darjah.
"Jadi untuk itu, guru kita juga mesti pastikan mereka kompeten dari segi digital, menggunakan digital dengan memanfaatkan semua pendekatan digital yang ada untuk tujuan pedagogi dan proses pembelajaran dan pengajaran," katanya.
Mengenai laporan pegawai perkhidmatan pendidikan bersara awal, beliau berkata KPM telah melaksanakan kajian bagi mengenal pasti punca guru bersara awal.
"Dengan cara ini, kita harapkan aspek kesejahteraan guru-guru kita ini akan dapat ditangani. Kita akan terus perkukuhkan supaya keberadaan mereka dalam profesion perguruan akan semakin bertambah baik," katanya.
Pada 29 Feb lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata seramai 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru telah diluluskan untuk bersara pilihan sepanjang tahun lepas.
-- BERNAMA