KPM tidak kompromi pihak sekolah sembunyi kes buli - Radzi

Muhafandi Muhamad
Mei 16, 2022 17:11 MYT
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin pada masa sama menjelaskan, masalah buli di kalangan pelajar sekolah khususnya di sekolah berasrama penuh perlu ditangani melalui sikap murid sendiri. - Gambar fail
BACHOK: Pihak sekolah diingatkan tidak menyembunyi kes-kes buli kerana masalah ini merupakan masalah yang perlu ditangani secara bersama.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin pada masa sama menjelaskan, masalah buli di kalangan pelajar sekolah khususnya di sekolah berasrama penuh perlu ditangani melalui sikap murid sendiri.
“Ada yang saya baca cuba nak disorokkan (kejadian buli)… kita tak akan bertoleransi. Dan juga yang ingin tutup kes... kita tidak akan berkompromi.
“Kita mengambil kira apa yang berlaku di sekolah berasrama dan cabaran kita hadapi dalam konteks warden asrama.
“Banyak perkara kita sedang perjuangkan soal warden asrama, namun apa yang lebih penting adalah hati, jiwa dan pemikiran anak-anak kita… bagaimana nak wujudkan anak-anak yang buat keputusan yang rasional,” ujarnya.
Radzi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga laporan yang diterima pihak polis berhubung kes pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh yang didakwa dicederakan pelajar senior semalam.
Dalam konteks ini menurut Radzi lagi, Kementerian Pendidikan sedang berusaha ke arah membentuk penjiwaan dan sikap murid supaya wujud rasa tanggungjawab dan berfikiran rasional dalam kalangan mereka.
Katanya semua pihak sekolah, ibu bapa termasuk pelajar itu sendiri perlu memainkan peranan kerana sekiranya ada pengawalan tetapi murid masih tidak memahami konsep penjiwaan, masalah akan kembali berulang.
Radzi juga menjelaskan, pihaknya turut berbincang kerana memahami sekolah yang bercuti panjang turut mempengaruhi sikap dan pergaulan murid murid kerana interaksi sesama rakan mereka terhad.
#sekolah #kes buli #Menteri Kanan Pendidikan #Radzi Jidin #Kementerian Pendidikan
;