KPM tidak keluar senarai ranking sekolah terbaik SPM 2022 - Fadhlina
Adie Sufian Zulkefli
Jun 10, 2023 15:36 MYT
Jun 10, 2023 15:36 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang ranking sekolah terbaik di negara ini berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ranking yang tular menerusi media sosial sejak semalam adalah di luar pengetahuan pihak kementerian.
Katanya, setiap keputusan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) itu juga bukan dipertandingkan sebaliknya sebagai membantu sokongan ke arah peningkatan sekolah itu pada masa hadapan.
"Dari sudut Kementerian Pendidikan itu bukan satu petunjuk prestasi utama (KPI) sebab kita tak pernah sebut tentang ranking ini. Kementerian tidak pernah mengeluarkan ranking tersebut. Siapa yang buat ranking itu pun di luar pengetahuan kita (Kementerian Pendidikan).
"Sebenarnya tidak ada apa-apa secara rasmi tentang ranking tersebut. Apa yang diunjurkan melalui GPS sekolah itu adalah untuk sekolah itu sendiri di peringkat daerah dan negeri itu sendiri. la bukan untuk dipertandingkan kerana ia adalah untuk melihat usaha yang akan dilaksanakan pada tahun mendatang. Jadi tidak timbul soal ranking dan kita tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mahupun pengesahan tentang ranking tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Jerayawara Pendidikan Madani Pendidikan Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar pada Sabtu.
Semalam tular di media sosial senarai ranking sekolah terbaik SPM 2022 ekoran pengumuman keputusan peperiksaan awam itu sejak kelmarin berdasarkan GPS sekolah-sekolah di seluruh negara.
Justeru Fadhlina menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan ranking berkenaan yang disifatkan boleh berubah pada masa akan datang.
"Saya fikir kita tumpukan pada (prestasi) anak-anak kita. Jangan terpengaruh dengan ranking kerana ranking ini akan berubah. Kita lihat kemajuan anak-anak kita sendiri melalui pendekatan pengkukuhan eko sistem penglibatan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru PIBG), PIBKS Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) untuk anak-anak cemerlang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan sentiasa memantau dan memberi bimbingan kepada lepasan SPM berkaitan hala tuju masing-masing termasuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Melalui ceramah, alumni sekolah yang dilaksanakan. Jadi tidak timbul soal kita tak beri hala tuju dari peringkat awal. Tetapi apa yang berlaku selepas itu, kebanyakannya adalah pilihan atau pun faktor-faktor luaran seperti mereka bekerja untuk menanggung keluarga, kemiskinan dan lain-lain," katanya lagi.