KPM tetap iktiraf sekolah vernakular - Fadhlina

Pia Ernadya
Mac 11, 2024 11:45 MYT
Fadhlina mengadakan sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan Saujana Putra sempena pembukaan sesi akademik 2014/2025 di Kuala Langat, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LANGAT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendengar cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggesa kajian semula ke atas sistem pendidikan sekolah vernakular di negara ini.
Bagaimanapun, tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM kekal mengiktiraf sekolah vernakular dalam kerangka pendidikan kebangsaan, sekali gus memperkasa Akta Pendidikan 1996.
"Kita mendengar pandangan tersebut, tetapi untuk hari ini, pendirian kita adalah untuk berdiri tegak dan memperkukuh Akta Pendidikan.
"Sekolah vernakular ini juga diiktiraf akta tersebut dan kita akan teruskan dengan pendirian tersebut," katanya pada sidang media usai mengadakan Lawatan Kerja sempena Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra Jalan SP 4/4, Bandar Saujana Putra, di sini, pagi ini.
Sebelum ini, Dr Akmal meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan dengan menerapkan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, sudah tiba untuk kerajaan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran di negara ini.
Ia termasuk dari aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Namun begitu, cadangan yang dikemukakan ini mendapat tentangan oleh Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang menyatakan bahawa Dr Akmal keliru berhubung isu polarisasi kaum di negara ini.
Beliau turut mencadangkan supaya Ketua Pemuda UMNO itu untuk mencari punca sebenar masalah dalam sistem politik negari ini berbanding memberi tumpuan kepada SJK atau SK.
#Fadhlina Sidek #Pemuda UMNO #sekolah vernakular #Bahasa Melayu
;