KPM terus sediakan akses, fasiliti kepada MBPK

Bernama
Ogos 6, 2023 05:30 MYT
Fadhlina berkata KPM sentiasa komited dan meneruskan menyediakan akses serta fasiliti yang secukupnya bagi golongan murid berkenaan untuk terus berjaya dalam sektor pendidikan. - Foto BERNAMA
KEPALA BATAS: Murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) mempunyai keupayaan dan berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan pendidikan di negara ini.
Justeru, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited dan meneruskan menyediakan akses serta fasiliti yang secukupnya bagi golongan murid berkenaan untuk terus berjaya dalam sektor pendidikan.
"KPM memberikan tumpuan penuh kepada keperluan anak-anak berkeperluan khas. Kami sentiasa komited dalam meningkatkan akses pendidikan khususnya kepada anak-anak keperluan khas.
"Sebab itu, kami menyediakan pendidikan dan latihan berkualiti, memantapkan kebolehupayaan dan mencapai enrolmen sejagat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bumbong Lima, di sini pada Ahad.
Fadhlina berkata SMKPK Bumbong Lima yang merupakan sekolah pendidikan khas ke-35 di negara ini dan kelima di Pulau Pinang, mencerminkan komitmen KPM dalam memberikan perhatian khusus kepada murid keperluan khas.
Sehubungan itu, beliau berkata peruntukan dalam Belanjawan Persekutuan bagi murid berkeperluan khas juga ditingkatkan selain kerajaan sedang membangunkan sebuah sekolah sukan pendidikan khas di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berjanji KPM sentiasa serius dalam menyediakan akses pendidikan kepada semua orang agar tiada mana-mana golongan tercicir daripada arus pendidikan negara.
Ia termasuk memberikan akses pendidikan kepada murid yang tiada mempunyai dokumen pengenalan diri dan tiada kewarganegaraan melalui inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK); murid uzur atau sakit dan yang berada dalam belenggu kemiskinan.
SMKPK Bumbong Lima bakal menyediakan pendidikan bagi 192 murid meliputi 160 orang yang menginap di asrama dan 32 yang tidak menginap di asrama.
Sekolah berkenaan akan memulakan operasi pada Oktober tahun ini melibatkan 32 murid bagi Tingkatan Satu, seterusnya pada Mac 2024 bagi murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat (akademik dan pendidikan vokasional menengah atas).
Projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) Rolling Plan 1, 2016 itu dilengkapi dengan asrama, blok akademik, padang, garaj bas, dewan dan semua fasiliti yang lain.
-- BERNAMA
#KPM #MBPK #Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek #pendidikan
;