KPM teliti sukarelawan dari Singapura, alu-alukan pesara guru Bahasa Inggeris di Malaysia
Hasimi Muhamad
Julai 16, 2024 12:24 MYT
Julai 16, 2024 12:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengenal pasti sukarelawan dari Singapura yang berkelayakan sebagai tenaga pengajar Bahasa Inggeris bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Walau bagaimanapun, menterinya, Fadhlina Sidek berkata kerajaan sentiasa terbuka dan mengalu-alukan pesara-pesara guru Bahasa Inggeris dalam negara untuk terlibat dalam PdP bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.
Jelas beliau, pesara-pesara guru telah banyak membantu usaha KPM dalam meningkatkan PdP Bahasa Inggeris termasuk melalui Program Highly Immersive Programme Mentor (HIP Mentor).
"Program ini membolehkan guru dan pensyarah Bahasa Inggeris yang telah bersara menyokong dan membantu dalam persekitaran Bahasa Inggeris yang menyeronokkan di sekolah-sekolah selaras dengan objekitf kita untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.
"Pesara yang terlibat digelar sebagai mentor dan penglibatan HIP Mentor adalah sebagai rakan gerak jangkau mewakili pihak komuniti yang menyumbang kepakaran secara sukarela dalam membantu murid-murid meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris secara lebih yakin dan menyeluruh.
"Jadi tidak ada masalah untuk kita membuka ruang kepada pesara-pesara ini untuk bekerjasama dengan KPM dan menyumbang kepakaran dan memberi cadangan bagaimana kita dapat menyediakan dan mempelajari Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanyakan sama ada kerajaan melakukan libat urus dengan rakyat Malaysia yang fasih berbahasa Inggeris seperti pesara guru untuk mengajar subjek berkenaan.
Mengulas mengenai soalan asal Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai perancangan khusus kerajaan berhubung cadangan membawa masuk tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura, Fadhlina berkata, KPM sedang meneliti perkara tersebut.
Jelas beliau, inisiatif seperti itu pernah dilaksanakan KPM melibatkan tenaga pengajar dari negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat, dan Korea.
Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura ke Malaysia baru-baru ini, Malaysia berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar tenaga pengajar sukarelawan untuk mengajar Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat di seluruh negara.