Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, cadangan itu perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos yang tinggi bagi membuat urusan di bank.
"Cadangan ini adalah bagi memastikan insiden seperti ini tidak berlaku lagi. Walau bagaimanapun, cadangan ini perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos yang tinggi bagi membuat urusan di bank," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai mekanisme mengatasi masalah pengurusan wang bantuan awal persekolahan agar isu kecuaian atau kecurian wang tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Pada 16 Januari lalu, seorang guru dilapor berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang, apabila dilarikan penjenayah.
Hui Ying berkata, berdasarkan Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan, Perkara 6 menyatakan pihak sekolah hendaklah mematuhi tatacara pengeluaran wang tunai daripada bank yang selamat dan mengikut peraturan semasa.
Katanya, antara peraturan tersebut pertamanya, pengeluaran wang tunai sehingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi oleh dua orang guru.
“Kedua, bagi pengeluaran wang tunai melebihi RM10,000 pengetua atau guru besar perlu mengambil langkah keselamatan tambahan.
“Ia seperti mendapatkan perkhidmatan polis pengiring berdasarkan Arahan Perbendaharaan (AP 137) mengenai Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan,” katanya.
Katanya, KPM sentiasa memberi taklimat secara berterusan bagi memastikan pengetua dan guru besar mematuhi tatacara kelola pengurusan wang di sekolah.