KPM siasat video tular ibu dakwa terima wang BAP tak cukup

Astro Awani
Januari 20, 2023 20:28 MYT
Kerajaan memperuntukkan BAP sebanyak RM150 kepada semua murid yang masih bersekolah dan diagihkan secara tunai pada bulan ini - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dalam jumlah yang berbeza.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima satu rakaman video yang ditularkan di aplikasi TikTok, mendakwa ibu kepada tiga anak yang belajar di sekolah sama tidak menerima jumlah bantuan yang sepatutnya.
"KPM akan menyiasat perkara tersebut dengan kerjasama pihak yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan agar tindakan yang tegas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa," kata KPM dalam kenyataan pada Jumaat.
Curi Wang BAP | KPM jamin wang BAP dilarikan penjenayah diganti sebelum Mac
BACA: Mudahkan saluran Bantuan Awal Persekolahan, jangan sampai rumit
Dalam pada itu, KPM memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga untuk membuat aduan secara rasmi melalui SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my atau melalui telefon sepanjang waktu pejabat beroperasi di talian 03-8884 6456.
KPM katanya, akan memastikan semua butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan.
Terdahulu, tular seorang wanita mempersoalkan tindakan seorang guru yang didakwa sengaja mengurangkan jumlah asal wang BAP.
Berdasarkan rakaman video di TikTok itu, wanita berkenaan mendakwa guru tersebut tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir mengambil wang BAP bagi tiga orang anaknya.
Kerajaan memperuntukkan BAP sebanyak RM150 kepada semua murid yang masih bersekolah dan diagihkan secara tunai pada bulan ini.
#Kementerian Pendidikan #Bantuan BAP sekolah #video tular tiktok #wang bap tak cukup
;