KPM siasat guru besar pukul murid di Terengganu

Sinar Harian
Disember 14, 2023 14:09 MYT
Video tersebut dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial milik Siti Hajar berserta keterangan 'pendidik harus terdidik'. - Gambar/ Sinar Harian
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang guru besar bertindak memarahi dan memukul bahagian kepala seorang murid lelaki dipercayai berlaku dalam sebuah majlis rasmi di sebuah sekolah di Terengganu.
Menerusi kenyataan KPM memaklumkan, langkah itu bagi memastikan isu berkenaan diselesaikan segera.
"Kementerian komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan," kata kenyataan itu pada Khamis.
BACA: Video guru besar pukul murid dalam majlis sekolah tersebar
Menurut kenyataan itu, golongan pendidik dinasihatkan untuk sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme profesion keguruan.
Terdahulu, nama sekolah berkenaan menjadi trending di laman X selepas rakaman berdurasi 41 saat itu tular di media sosial.
Video tersebut dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial milik Siti Hajar berserta keterangan 'pendidik harus terdidik' yang setakat ini mendapat 490,000 tontonan dan 5,600 perkongsian sejak Rabu.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian terbaharu, guru berkenaan mengakui telah memadam dua hantaran video berkenaan kerana kes tersebut sedang dalam siasatan. - Sinar Harian
#guru besar pukul murid #video tular #terengganu #identiti guru besar
;